Pak Tam ...Nama kucing ni

Monday, 2 May 2011

PERKAHWINAN



Perkahwinan adalah merupakan hubungan suci antara pasangan suami dan isteri. Setiap insan yang bergelar suami dan isteri pasti mengimpikan perkahwinan yang bahagia dan kekal sehingga akhir hayat.Kehidupan pasangan suami isteri menjadi lebih lengkap apabila dikurniakan cahaya mata.Perkahwinan yang dibina dan dipupuk dengan kasih sayang, kesabaran dan keredhaan akan membawa berkat.
Namun setiap perkahwinan ada pasang surutnya, "sedangkan lidah tergigit inikan pula suami isteri".Setiap pasangan akan diuji sepanjang tempoh perkahwinan mereka.Adakah mereka mampu mengharungi gelora dan sepak terajang dalam rumah tangga, semuanya bergantung kepada kekuatan dan keimanan diri setiap pasangan.
Segagah dan sehebat manapun seorang suami, mereka mampu jatuh dan lemah dek godaan wanita yang dianggap lemah.Kelemahan suami terhadap godaan menyebabkan gejolak nafsu mereka makin bergelora dan menjadi tidak keruan.Penampilan yang seksi serta pujuk rayu wanita mampu mencairkan hati keras seorang lelaki.Tidak hairanlah sesebuah rumahtangga mudah goyah apabila sang suami mula terjebak dengan orang ke tiga.Dengan mudah seorang suami memanggil perempuan lain dengan panggilan sayang tanpa memikirkan perasaan isteri.Tidak dinafikan kebanyakan kes, terdapat suami hanya suka-suka berkawan dengan perempuan lain. Pada peringkat awal suami hanya menyimpan perasaan sayang sebagai rakan tetapi lama kelamaan rasa sayang itu bertukar kepada perasaan cinta. "Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi". Walaupun mengetahui status suami sudah berkeluarga,hubungan teman tapi mesra diteruskan.
Suami yang sedang mabuk kepayang melabur banyak wang untuk menagih kasih perempuan lain.Mereka lupa pengorbanan seorang isteri yang telah hidup bertahun-tahun bersama.Nafkah anak diabaikan dan hak seorang isteri dinafikan.Ada juga kes isteri digantung tanpa tali, dan mereka terpaksa naik turun mahkamah syariah untuk menuntut hak mereka."Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul".Bagi orang luar yang tidak alami masalah kecurangan suami mungkin akan menganggap isteri terlalu cemburu.Cemburu memang sifat semulajadi manusia dan ia sinonim dengan wanita/isteri.Siapa yang boleh bertahan apabila cinta dan kasih sayang suami beralih kepada perempuan lain.Ramai yang bersabar dengan sikap suami demi anak-anak.Mereka ini tidak sanggup mengorbankan masa hadapan anak-anak walaupun jiwa dan perasaan mereka terguris dan robek ibarat disiat-siat oleh pedang yang tajam. Walaupun lukanya boleh sembuh tetapi parutnya pasti kelihatan.
Isteri-isteri yang tidak dapat bertahan dengan dugaan ini akan mengambil keputusan berpisah.Untuk apa menagih kasih suami yang tidak sudi.Sebagai seorang perempuan ,lebih baik kita ambil pendirian "pinggan tak retak , nasi tak dingin, orang tak hendak , akupun tak ingin." Lagipun hidup di dunia hanya sekali dan tiada duanya.Lebih baik menjaga hati dan perasaan sendiri dan bahagiakan diri sendiri . Sesungguhnya Allah sentiasa di sisi hambanya yang teraniaya.Percayalah hidup akan lebih tenang kerana tidak perlu memikirkan masalah kecurangan suami,malah lebih banyak masa untuk diri sendiri.
Tiada ruginya jika berpisah dengan suami yang khianat dalam perkahwinan.Jika suami seorang yang bertanggungjawab, cinta anda tidak akan dikhianati.Hidup perlu diteruskan kerana banyak lagi tanggungjawab dan amanah Allah yang perlu kita laksanakan.Walaupun tiada suami di sisi ramai ibu tunggal yang berjaya membesarkan anak-anak sehingga menjadi manusia berguna.Wanita yang bergelar isteri bukan hamba suami,dan bukan juga pembantu rumah.Wanita/isteri berhak  untuk hidup ceria dan bahagia.Jika suami boleh hidup bahagia dengan pasangan barunya , biarkanlah.Hidup tidak selalunya indah,kerana rumahtangga yang baru dibina oleh suami pasti akan diuji sebagaimana perkahwinan terdahulu.Kehidupan di dunia ibarat roda, hari ini kita  berada di atas , esok lusa kita mungkin berada di bawah. Kita tidak akan selama-lamanya  berada di atas.
Begitulah lumrah kehidupan , "ingatkan panas sehingga petang, rupanya hujan di tengah hari".

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

SELAMAT PENGANTIN BARU


Kepada pasangan yang akan berkahwin, selamat menempuh alam perkahwinan.Perkahwinan bukan jaminan kesetiaan dan kebahagian suami/isteri.Pelbagai kemungkinan akan dihadapi sepanjang menempuh alam perkahwinan samaada susah @senang, setia @ curang, bahagia @ derita ,dihargai@ tidak dan macam-macam lagi dugaan. Kita perlu 'set' minda kita dengan sebarang kemungkinan yang mendatang supaya kita dapat menghadapinya dengan fikiran yang terbuka dan bukan mengikut emosi."Ikut rasa binasa, ikut hati mati".
zwani.com myspace graphic comments