Saya suka membaca kisah dan pengalaman pembaca dalam ruangan di celah2 kehidupan(Mingguan Malaysia). Dari pembacaan kisah2 tersebut saya muhasabahkan diri dan selalu belajar membaiki kelemahan dan kekurangan kerana dengan cara itu menjadikan saya matang dan insaf.Saya redha dengan ketentuan Allah kerana saya yakin Allah menguji hamba-Nya yang tabah dan boleh menghadapi ujian.
Hakikat yang perlu diterima dan dipercayai oleh setiap wanita adalah , secantik dan sebaik manapun isteri yang sah dimiliki , lelaki tetap lelaki.Keinginan mereka untuk memiliki lebih daripada satu isteri untuk mewarnai hidupnya tetap ada tertanam dalam hati mereka.
Apa yang mendukacitakan lagi, ada suami yang sudah tidak betah lagi hidup bersama isteri yang sah, sebaliknya lebih bahagia hidup dibuai mimpi bersama kekasih gelap mereka.Tanggungjawab terhadap anak isteri diabaikan hanya kerana kemaruk cinta gadis muda.Wang ringgit banyak dihabiskan untuk kekasih gelap.Bil telefon mencecah ratusan ringgit sedangkan wang nafkah anak isteri tidak diendahkan.Anak-anak dipinggirkan kerana si suami mengejar kehidupan sendiri dan tidak mahu dibelenggu dengan masalah anak-anak.
Siisteri sering dipersalahkan kerana tidak pandai mengurus rumah tangga ,tidak pandai bergaya dan tidak pandai melayan suami.Zaman bercinta dan berumahtangga amat berbeza dan sukar diramal. Kasih sayang suami tidak menentu seperti ombak menghempas pantai.Sekali ombak menghempas sekali pantai berubah.Kerana ORANG KETIGA ada suami yang sanggup tinggalkan isteri yang dikahwini atas dasar cinta.Benarlah kata orang 'cinta' tidak boleh membeli kebahagiaan.Memang kita tidak boleh salahkan orang ketiga tetapi "bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi".Ada yang sanggup membina kebahagian atas penderitaan dan air mata orang lain.Mereka juga tidak berasa bersalah apabila membina rumahtangga dari runtuhan batu-batu rumahtangga orang lain.Berpoligami tidak salah tetapi mampukah suami berlaku adil? Tepuk dada tanya selera.
Madu memang rasanya manis. Tetapi bermadu amatlah pahit bagi wanita yang pernah melaluinya.Bermadu hanya membahagiakan pihak lelaki.Sebaliknya bagi kaum wanita mereka terpaksa berkongsi segala-galanya dengan madu mereka.Jika dahulu kasih sayang suami adalah miliknya seorang, begitu juga dengan wang perbelanjaan rumah terpaksa dibahagi dengan madu.Masa untuk bersama suami juga telah berkurang kerana suami bergilir bermalam di rumah madu.
Berlaku juga perasaan cemburu di kalangan madu kerana suami pilih kasih antara isteri-isteri.Suami utamakan isteri muda kerana lebih cantik dan bergaya.Segala keperluan isteri muda didahulukan sehingga mengabaikan kebajikan isteri tua.Perbelanjaan isteri tua dikurangkan kerana isteri muda lebih memerlukan dengan alasan isteri muda hendak bersalin.Apabila isteri tua meminta wang belanja persekolahan anak yang meningkat dewasa, perbagai alasan diberikan.Wang perbelanjaan dapur yang tidak mencukupi telah memaksa isteri membuat kerja sampingan untuk menambah pendapatan. Jika isteri menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap sikap suami,pihak suami mengambil tindakan tidak pulang ke rumah berbulan-bulan.
Anak-anak merupakan mangsa apabila berlaku konflik dalam rumahtangga. Jiwa dan perasaan mereka tertekan sehingga ada yang memberontak dan membenci kedua-dua ibu bapa mereka.Ada yang terjebak ke kancah negatif kerana terpengaruh dengan rakan sebaya.'Rumahku Surgaku' bukan lagi menjadi solgan buat mereka.
Ketahuilah para suami, anak-anak adalah harta dan amanah Allah kepada manusia.Janganlah terlalu mengejar keseronokan hidup di dunia sehingga kebajikan anak-anak terabai.Ketahuilah olehmu para suami , bahawa kematian itu pasti. Apabila kematian itu tiba, segala kemewahan dan kesenangan hidup akan ditinggalkan. Segala amalan dan amanah Allah dibumi ini akan disoal.
Suami-suami yang dapat berlaku adil kepada semua isteri mereka tahniah diucapkan.Tetapi berapa ramaikah yang berupaya berlaku adil.Sebagai manusia kita tidak sempurna dan ada kelemahan.Kepada para suami yang ingin hidup berpoligami ukurlah dahulu kemampuan diri , jangan mengikut hawa nafsu semata-mata.Kepada wanita-wanita yang akan menjadi isteri kedua, ketiga dan keempat sanggupkah anda hidup bermadu? Jika sanggup hidup bermadu maka persiapkanlah diri dari segi mental dan fizikal.Kepada isteri pertama,bolehkan anda bertahan jika suami tidak berlaku adil dan beralih kasih dan membenci anda dan anak-anak? Janganlah menagih kasih orang yang dah tak sudi.Lebih baik anda bahagiakan diri dan anak-anak daripada mengharap kasih seorang suami yang hanya mementingkan diri.Jaga dan didiklah anak-anak menjadi insan yang soleh dan solehan.Binalah hidup baru tanpa mengharap dan meminta-minta daripada lelaki.Hiduplah dengan lebih tenang dan carilah kehidupan sendiri, jangan dibelenggu oleh masalah hidup.Banyakkan beribadat dan sentiasa berdoa agar diberi kelapangan di akhirat kelak.
Para suami tidak akan selama-lamanya bahagia dengan madu-madunya. Tuhan akan menguji rumahtangga yang baru di bina sebagaimana kehidupan bersama isteri terdahulu. Hidup ini umpama roda, ada ketika kita di atas dan ada ketika pula kita akan berada di bawah."Untung sabut timbul, untung batu tenggelam".
Sesungguhnya ,kita harus terima hakikat bahawa seorang suami bukanlah hak mutlak bagi isteri. Allah hanya pinjamkan suami untuk isteri hanya sementara waktu. Apabila tiba masanya Allah akan mengambil suami(kematian) atau akan diambil oleh perempuan lain(madu).Hargailah kurniaan Allah termasuk harta, suami, isteri, anak dan nikmat hidup didunia.
SELAMAT PENGANTIN BARU

Kepada pasangan yang akan berkahwin, selamat menempuh alam perkahwinan.Perkahwinan bukan jaminan kesetiaan dan kebahagian suami/isteri.Pelbagai kemungkinan akan dihadapi sepanjang menempuh alam perkahwinan samaada susah @senang, setia @ curang, bahagia @ derita ,dihargai@ tidak dan macam-macam lagi dugaan. Kita perlu 'set' minda kita dengan sebarang kemungkinan yang mendatang supaya kita dapat menghadapinya dengan fikiran yang terbuka dan bukan mengikut emosi."Ikut rasa binasa, ikut hati mati".