29,000 KORBAN KEBULURAN DI SOMALIA, begitulah tajuk berita yang disiarkan dalam surat khabar Mingguan Malaysia bertarikh 7/8/2011. Hati menjadi hiba apabila terpandang gambar seorang kanak-kanak yang kelaparan sedang menyuapkan makanan di khemah perlindungan Mogadishu, Somalia.Ketika umat islam seluruh dunia menyambut Ramadan dan menikmati kemewahan berbuka puasa , penduduk Somalia bertarung nyawa untuk meneruskan kehidupan akibat kebuluran kerana kemarau di negara mereka.Kebanyakan mangsa korban akibat kebuluran adalah kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
Keinsafan datang menerpa dalam diri , apabila melihat kanak-kanak somalia bermata kuyu, dihurung lalat sambil memegang bekas makanan yang kosong.Alangkah beruntungnya rakyat negara kita yang dilimpahi dengan kemewahan makanan. Pembaziran makanan jelas dilihat ketika bulan Ramadhan. Alangkah baiknya jika rakyat negara kita mengambil iktibar daripada tragedi kebuluran di Somalia bagi mengelakkan pembaziran yang melampau setiap kali tibanya bulan Ramadhan. Bersederhana berbelanja untuk berbuka puasa dan bersyukurlah dengan nikmat Allah.
Allah mewajibkan setiap umat islam berpuasa supaya kita sama-sama dapat merasai lapar dan dahaga sebagaimana yang dirasai oleh orang-orang yang sedang kelaparan. Banyakkan bersedekah di bulan ramadhan ini.Bersedekahlah dengan ikhlas walaupun hanya RM 1 kerana tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima.Niatkan dalam hati bersedekah kerana Allah dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk.
Bersedekah tidak akan menyebabkan kita jatuh miskin sebaliknya akan membuatkan kita semakin kaya.Harta kekayaan kita sebahagiannya adalah milik orang miskin.Semakin banyak kita bersedekah semakin banyak rezeki yang tuhan limpahkan kepada kita .
Selain daripada sedekah wang ringgit dan harta benda,senyum juga adalah merupakan sedekah.lemparkan senyuman kepada semua orang dengan penuh keikhlasan dan bukan senyum kelat.
Kurangkan manis dalam minuman , banyakkan manis dalam senyuman. Melalui senyuman kita dapat merapatkan persaudaraan sesama islam. Orang yang tidak lokek dengan senyuman mudah mendapat ramai kenalan. Senyumlah jika kita mahu orang tersenyum kepada kita.